Wednesday, March 30, 2011

Diam

Diam buat manusia belajar tentang nilai. Ketika diam manusia mula menilai setiap sesuatu, timbang timbal baik dan buruk. Diam sahaja bila kebuntuan, menjadi pemerhati dan meletak nilai.

Dan akhirnya bila keputusan dicapai, genggam dan semat dalam jiwa, melangkah gagah.

Friday, March 25, 2011

Diri

Jangan pernah salahkan yang lain sebelum usai kau melihat dirimu sendiri.
Kala kau menghadap cermin tunjukkan wajah kau yang paling jelek
agar nanti bila dikata orang kau sudah tahu sejelek mana sebenarnya engkau.

Jangan terpedaya dengan kata-kata orang yang mahu terus memusnahkan kamu.
Cukup jangan sampai kau diinjak sesenang hati.

Walaupun kau bukan yang paling kuat, jangan letak diri sebagai yang terlemah.

Makna

Kita terus berlari mengejar apa yang tak pasti.
Dari persimpangan jalan sana kita lihat kubah rehat kita dimusnah orang;
ke mana langkah kita seterusnya?
Terus mara dengan jalan kabur atau kembali kepada pengkalan yang sudah musnah.
Kedua-duanya tidak membawa makna.

Lemah

Baling batu sembunyi tangan tak akan buat kau lebih bagus dari aku.
Kenapa kau lancarkan peperangan kalau kau takut musibah?
Jangan pernah lari dengan apa yang kau definisikan hidup.

Matlamat kau cuma mahu menang, itu hak kau.
Tapi mengapa sampai mahu berjuang dengan cara yang salah?
Mahu terus jadi si penakut atau sudah kau gelar diri pengecut.

Maaf, bukan cara aku.
Meski aku bukan manusia paling gagah aku tahu aku bukan manusia lemah.

Masalah

Bila berhadapan dengan masalah, jangan lari sebaliknya kejar. Lari membuatkan masalah kelihatan rumit sedangkan bila kau mengejar masalah semakin kelihatan mudah. Sama bila kau buat larian marathon. Kalau kau membontotkan laluan maka kau tidak akan nampak lopak di hadapan. Cuba kau berlari dalam laluan itu, mungkin kaulah pelumba pilihan. Siapa tahu.

Bodoh

Pintu yang hampir tertutup, kalau kau tak berusaha untuk halang ia dari terus tertutup maka tindakan kau membiarkan sahaja ia tertutup adalah dianggap bodoh. Sama macam peluang dalam hidup. Kalau setakat nak kata itu silap kau seumur hidup sedangkan kau langsung tak berusaha untuk membetulkan kesilapan itu, maka kau juga tergolong dalam orang-orang bodoh.

Sebab itu aku cuba semampu yang aku boleh. Aku tak mahu tergolong dalam kelompok orang bodoh.

Saturday, March 19, 2011

Jauhari dan Manikam

Hanya Jauhari mengenal Manikam;

Jauhari akan setia mengatakan bahawa benda berharga di dalam genggam tangannya itu benar-benar Manikam, bila-bila dia pasti.

Hari ini, akulah Jauhari dan manikam itu adalah pada siapa persahabatan itu aku tujukan. Kalian manikam, meski pernah jatuh dan terserpih, meski tersalut lapisan lumpur, meski pudar warnanya dimamah hari, kalian tetap manikam di hati aku.

Terima kasih kerana kembali menjadi milik aku, seperti mana apa pun kalian.

Friday, March 18, 2011

Permata

Dalam mencari erti diri kita selalu terlepas pandang antara kaca dan permata.
Selalunya kita percaya bahawa kaca itulah permata sampai tertipu dengan masa.
Bila permata di curi orang, kita mendengus resah kata ia milik kita paling berharga.

Kita itu bukan aku,

sebab aku selalu menghargai permata yang aku jumpa.
Cuma biasanya permata itu bukan milik aku.
Lalu aku serahkan semula pada tuannya.

Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu!

Tarian

Bisakah kau dendangkan lagu ini pada aku?

Jika tidak bisa, tak mengapa. Izinkan ia terus berputar di jiwa aku.
Izinkan aku terus menari sepi atas pelantar tarian mahabbah yang aku cipta.