Tuesday, December 20, 2011

Boneka

ADa kisah tentang seorang manusia yang merasakan hidupnya dia selaku boneka. Ini bukan kisah seorang budak yang terasa dengan keliling dan merasakan bahawa dia sengaja dibudakbudakkan, padahal dia sememangnya seorang budak. Bukan. Ini kisah seorang manusia yang sudah dewasa namun hidupnya tak ubah seperti boneka. Pernah lihat persembahan boneka? Ya, seperti itu. Pada waktu seluruh hati mahu melakukan yang lain, seluruh jasAd pula dikerah dengan gerak jauh menyimpang dari keinginan. DIa cuma boleh pasrah sebab dia belum mahu redha. Kisah boneka ini selalu berlaku, cuma kita selalu pejam mata. Pernah sesiapa merasakannya? DAn boneka itu menangis waktu raut wajahnya ditujah kasar untuk tersenyum.

Tuesday, November 29, 2011

Bila?

Dalam keterbatasan waktu dan suntuk abjad, kata-kata aku bagai mati. Entah bila dapat aku harapkan ia bangkit kembali. Mungkin, satu masa nanti bila hati penuh rasa yang tidak-tidak, jiwa sudah pulih dari rajuk cerita, lisan makin lancar mencorak kisah dan tubuh gagah berjuang khidmat, juga tidak lupa juga pada teknologi yang semakin merimaskan.

Jujur, aku mahu kembali mengetuk kekunci abjad pada mesin taip.
Sudah lama aku tidak menyentuh ia.

Mula, soalnya bila?

Tuesday, October 11, 2011

.Konflik.

Manusia pencinta aman tidak akan pernah menyukai konflik. Ia menyakitkan, menyusahkan dan menyedihkan. Dan paling kasihan, kalau konflik yang terjadi melibatkan urusan-urusan harian.

Betul lah, selagi namanya hidup maka tak akan pernah lari konflik mendampingi. Tapi agak-agaklah. Kalau sengaja mencari punca, sengaja mencipta ketidak sefahaman, 

lalu mengapa di tuding jari telunjuk sedang hantu, manis dan kelingking kembali semula ke diri sendiri?

Rimas.

Sunday, September 04, 2011

Permatang

Aku berikan satu analogi.

Seorang wanita tua dengan baju lusuh sedang menebas di permatang sawah. Permatang sawah itu tempat anak-anaknya bermain waktu kecil. Permatang sawah itu ruang gembira seisi keluarga dengan hembus angin sepoi-sepoi waktu petang. Permatang itu adalah pujukan rindu.

Rindu pada anak-anak yang lama terlupakan jalan pulang.

Di permatang itu, apa yang dilihat wanita tua? 
Sebuah kenangan 
atau 
sebuah harapan.

Friday, August 05, 2011

Peluh emas

Peluh emas itu bila ia terpercik dari tubuh, baunya semerbak harum. Peluh emas itu, biar si pelaku kerja terlentang tak bergerak nilainya adalah taruhan tertinggi.

Kerana sebenarnya peluh emas itu adalah hasil dari kepayahan yang sungguh-sungguh dirasakan oleh si pelaku. Bebanan yang tertanggung cuma si pelaku yang faham. Dan ikutan itu, meski si pelaku membujur lalu melintang patah atas kehendak dan kemahuannya, peluh emas itu muncul.

Sejujurnya, peluh emas sangat-sangat aku mahu. Mungkin mengikut kata orang-orang terdekat, sudah terbit peluh emas itu rintik-rintik dekat dahi aku. Sebenarnya, itu mungkin cuma berlian tumpah yang disalah sangka sebagai emas.

Masa depan yang mendatang, peluh emas akan menitis juga dari jasad aku. Cuma aku belum pasti bila.

Sunday, July 10, 2011

Malas berfikir

Sudah lama aku tidak melihat hidup dengan yakin kerana itu tidak aku coretkan perkara-perkara baru di sini. Ruang fikir aku tentang hidup bukan gelap padam, cuma samar-samar. Ulangan diari sama setiap hari buat aku putus akal mahu melihat hidup seperti apa. Sebab dalam sini, jauh dalam hati aku nampak hidup ini bagai corak yang dicop pada sehelai kain berulang kali. Sama. Berulang. Bosan. Tidak memberi makna baru.

Tapi jujurnya, aku sendiri malas berfikir. Itu sebenarnya.

Tuesday, June 21, 2011

Muhasabah dari masalah

Apabila berhadapan dengan masalah, lihatlah ia dari luar bukan dari dalam. Maksudnya begini; dari menggunakan kata ganti aku lebih baik tukarkan kepada dia.

Bila setiap kali aku ditukar kepada dia maka kau akan melihat dari sisi orang lain. Kau akan memberi simpati bukan empati. Walau simpati dan empati dua perkara hampir sama tapi efek antara keduanya sangat berbeza.

Kau boleh cuba cara ini untuk lebih kenal diri kau juga. Muhasabah dari masalah, mungkin?

Monday, June 20, 2011

Tetap sama juga

Penghujung hari ini adalah permulaan hari esok. Untuk mereka yang tak pernah lelah mencuba, esok adalah suatu harapan sedangkan untuk mereka yang cungap berlawan keras hidup, esok itu adalah gelanggang cabaran.

Untuk aku, esok itu bagaikan malam yang dingin dan hari ini adalah adalah siang yang panas. Dua waktu berbeza dengan dua rintangan azab yang saksama.

Hari ini atau esok tetap sama kalau aku sendiri tidak berfikir.

Tuesday, May 31, 2011

Bergembira untuk ikhlas

Bila mana kau mencintai manusia maka seharusnya kau kenali dulu siapa diri kamu. Pernah dengar, "Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, manakala juga sebaliknya." Lalu kalau kamu terlalu memandang tinggi lelaki itu, apa lagi. Kamu juga perlu berubah. Bagaimana mahu berubah jika tidak kenal diri sendiri. Lalu kembali semula dalam fitrah. Kembali semula menCari siapa kamu dan apa kekuranganmu. Tampung dahulu setiap yang kurang, lalu dalam masa yang sama mohon pada Tuhan. Bernaung pada Dia, kenali Dia dan rapati Dia. Salurkan rasa cinta itu pada Dia. Seketika kau akan kembali tenang.

Bila mana kau merasai cinta, maka datangi rasa cinta itu dengan ikhlas. Bertemu, bertanya khabar, berkorban. Semua-semua itu perlukan keikhlasan. Bagaimana mahu ikhlas? Bergembira.

Monday, May 30, 2011

Luar kotak

Dari dalam kotak, kita cuma melihat dari empat sudut penjuru tanpa mengambil kira selain itu. Dan ruang sempit itu kadang kala membunuh imaginasi kita dari membesar menjadi matang. Oleh yang demikian, jika kita masih berada di dalam kotak, lompatlah keluar. Pekikkan pada dunia yang luas betapa empat sudut kecil itu tidak sedikit pun mencacatkan corak fikir kita. Dan waktu sebelum itu kita sebenarnya menyediakan ruang untuk diri dengan cengkerang tabah mengharungi luas fatamorgana.

Tiada suatu waktu pun yang kita persiakan, sejak dari dalam ruang empat penjuru kecil hingga waktu kita membuat keputusan melompat keluar. Di situ kita letakkan kepercayaan bahawa setiap detik itu adalah suatu pembelajaran kekal sepanjang hayat.

Friday, May 20, 2011

Ludah

Mendongak ke langit dan meludah, bukan suatu tindakan bijak. Formulasi tarikan graviti jelas menunjukkan bahawa yang akan terkena ludahan itu adalah diri sendiri. Sebab itu, sebelum melakukan sesuatu, harus bijak menilai. Sebelum berkata sesuatu, harus punya ilmu.

Ramai yang tidak percaya bahawa dua tiga perkataan yang ditulis itu lebih dalam melukakan jiwa orang berbanding sumpah herdik berjela. Berhati-hatilah. Esok lusa, jangan tertelan semula ludah sendiri.

Thursday, April 28, 2011

Hubungan

Berhubungan dengan manusia yang lain bukan sesuatu yang mudah. Ia seperti seni muzik. Kau perlu hidup dalam rentak dan tempo yang sama. Dan proses akhirnya, kau mendengar irama bersama sambil kepala sama-sama mengangguk, jari sama-sama dipetik, peha ditampar lembut, kaki menghentak lantai. Seluruh badan kau bercantum dengan irama. Sehati. Dan sambil kau menutup mata masih dapat kau rasakan kehadiran manusia lain selain kau. Perasaan satu dalam kelompok. Semuanya kau lakukan bersama-sama.

Kesediaan untuk saling menurut dan mengemudi.

Keseronokkan itu pasti kau capai tahap klimaksnya jika ada kejituan rasa. Jika tidak, ia akan jadi bingit dan membosankan. Mungkin lebih parah, kau bakal parah dengan kecederaan dalaman di telinga.

Simpulnya, hubungan itu bukan semudah ejaan hubung itu sendiri. Langsung tidak semudah itu. Aku rela kalau dipotong jari kelingking jika menipu.

Sunday, April 24, 2011

Naskah

Kecelakaan dalam menulis bukan kerana penulis itu celaka pada ideanya. Maaf kalau celaka itu kau andaikan makian. Tapi celaka dalam penulisan bila idea yang kau tulis tidak terjumpakan klimaks paksi kepuasan pembaca. Jangan kau jahanamkan naskah itu-- bukan puaka seni itu.

Yang punya pelesit ialah hati kita-kita; sentiasa mahu lebih. Sentiasa mendabik dada senang pada lebih yang sedikit. Tak tersedarkan hadiah dari Tuhan yang menyebabkan kita menjadi sedikit tinggi dari yang lain. Hadiah dari Tuhan itulah yang kita jadikan bahan ujikaji dalam penulisan. Ya, subjek penceritaan.

Seperti kali ini, celaka lagi penulisan ini diamuk cerca mereka yang benci. Benci bila semua yang tertulis terpukul batang hidung hingga patah. Mungkin sakitnya sampai mengalir air mata. Mungkin.

Tapi, ini juga naskah dari Tuhan.

Wednesday, April 20, 2011

Ujian Tuhan

Jangan diajar diri minta pada Tuhan semua benda. Belajar dahulu untuk tahu benda apa yang kau mahu. Jangan samberono memohon itu ini dan menjadi manusia pelupa. Jangan tipu, manusia meski tak semua-- tapi banyak yang tipu Tuhan bila sudah diperkenan doanya. Sebab itu Tuhan beri ujian demi ujian untuk mengingatkan.

Ujian untuk aku dari Tuhan juga, salah satu.

Friday, April 15, 2011

Menjadi diri sendiri

Manusia sering kali gagah menyalak mengatakan bahawa dia hidup dengan caranya sendiri. Sebenarnya dia lupa, hidupnya juga sebenarnya didalangi orang lain. Dia itu seringkali mengikut cara dari beberapa orang kenalan lama dan barunya, dan kemudian dengan megah berkata bahawa dia hidup menjadi dirinya sendiri.

Aku tidak kenal aku itu bagaimana untuk menjadi aku selayak kata aku tentang aku.

Wednesday, April 06, 2011

Hipokrasi

Adakalanya kita terpaksa menidakkan sesuatu yang benar demi menjaga kewajaran sesuatu perkara. Namun kadangkala, ia terlantik secara sendirinya menjadi hipokrasi. Ah, hipokrasi itu sangat besar maknanya. Boleh tak kalau aku mahu samakan hipokrasi dengan munafik?

Aku tidak suka pada usul hipokrasi kerana pada aku kalau sungguh tidak mahu kau khabarkan sesuatu, maka diamkan. Kerana dalam diam itu kau tidak mereka-reka alasan apatah lagi mencipta ilusi selain apa yang perlu ada. Aku lebih senang menerima pahitnya kejujuran dan kebenaran dari terus terpedaya pada helah dan tipu daya.

Hipokrasi dalam hidup mesti dan tidak boleh tidak; haruslah dijauhi.

Sunday, April 03, 2011

Fitnah hidup

Hidup selalu sahaja dibangsatkan bila-bila kegagalan menghimpit laluannya. Pada saat nafas kau tersekat dan berinjak sangat rapat dengan kematian, hidup adalah perkara pertama yang bakal kau mohon pada Tuhan. Bahasa hidup, meski nadanya lebih banyak keras dengan jerit susah dan erang payah--

selagi bergelar manusia, kita-kita ini tak akan puas untuk menikmatinya.

Sebab itu hidup sejagat alam ini adalah fitnah.
Fitnah syaitan buat manusia pelupa macam aku.

Friday, April 01, 2011

Takdir

Jangan pernah sekali kita cuba simpulkan bahawa takdir yang membawa keburukan itu kebobrokan para syaitan. Boleh jadi sebenarnya Tuhan sengaja menguji indahnya iman para hambanya. Mungkin juga kerana kesilapan itu Tuhan takdirkan keindahan pada kesudahan yang tidak kita jangka.

Aku walau tidak pandai meneka firasat takdir yang terjadi, meski dalam diam-diam aku menghukum kenapa aku yang terakhir tahu pada sebaris nota tentang kepercayaan pada hidup, aku tetap yakin bahawa ini takdir Tuhan.

Mungkin Dia mahu aku lebih peka dan percaya untuk membezakan gerak hati dari dari Tuhan dengan bisik-bisik syaitan.

Jujur

Perkataan jujur bukan ibarat rintik hujan yang pertama selepas kemarau panjang. Jujur itu hanya kau sedar wujud letaknya bila keadaan benar itu benar kau rasakan dengan jiwa. Kadangkala jujur diluah lidah tidak punya edah menunjukkan benar, tapi selalunya jujur itu terlalu payah untuk bersua lalu mencipta momen indah tentang isi dunia. Kerana itu jujur-- selalu sahaja disalah anggapkan.

Wednesday, March 30, 2011

Diam

Diam buat manusia belajar tentang nilai. Ketika diam manusia mula menilai setiap sesuatu, timbang timbal baik dan buruk. Diam sahaja bila kebuntuan, menjadi pemerhati dan meletak nilai.

Dan akhirnya bila keputusan dicapai, genggam dan semat dalam jiwa, melangkah gagah.

Friday, March 25, 2011

Diri

Jangan pernah salahkan yang lain sebelum usai kau melihat dirimu sendiri.
Kala kau menghadap cermin tunjukkan wajah kau yang paling jelek
agar nanti bila dikata orang kau sudah tahu sejelek mana sebenarnya engkau.

Jangan terpedaya dengan kata-kata orang yang mahu terus memusnahkan kamu.
Cukup jangan sampai kau diinjak sesenang hati.

Walaupun kau bukan yang paling kuat, jangan letak diri sebagai yang terlemah.

Makna

Kita terus berlari mengejar apa yang tak pasti.
Dari persimpangan jalan sana kita lihat kubah rehat kita dimusnah orang;
ke mana langkah kita seterusnya?
Terus mara dengan jalan kabur atau kembali kepada pengkalan yang sudah musnah.
Kedua-duanya tidak membawa makna.

Lemah

Baling batu sembunyi tangan tak akan buat kau lebih bagus dari aku.
Kenapa kau lancarkan peperangan kalau kau takut musibah?
Jangan pernah lari dengan apa yang kau definisikan hidup.

Matlamat kau cuma mahu menang, itu hak kau.
Tapi mengapa sampai mahu berjuang dengan cara yang salah?
Mahu terus jadi si penakut atau sudah kau gelar diri pengecut.

Maaf, bukan cara aku.
Meski aku bukan manusia paling gagah aku tahu aku bukan manusia lemah.

Masalah

Bila berhadapan dengan masalah, jangan lari sebaliknya kejar. Lari membuatkan masalah kelihatan rumit sedangkan bila kau mengejar masalah semakin kelihatan mudah. Sama bila kau buat larian marathon. Kalau kau membontotkan laluan maka kau tidak akan nampak lopak di hadapan. Cuba kau berlari dalam laluan itu, mungkin kaulah pelumba pilihan. Siapa tahu.

Bodoh

Pintu yang hampir tertutup, kalau kau tak berusaha untuk halang ia dari terus tertutup maka tindakan kau membiarkan sahaja ia tertutup adalah dianggap bodoh. Sama macam peluang dalam hidup. Kalau setakat nak kata itu silap kau seumur hidup sedangkan kau langsung tak berusaha untuk membetulkan kesilapan itu, maka kau juga tergolong dalam orang-orang bodoh.

Sebab itu aku cuba semampu yang aku boleh. Aku tak mahu tergolong dalam kelompok orang bodoh.

Saturday, March 19, 2011

Jauhari dan Manikam

Hanya Jauhari mengenal Manikam;

Jauhari akan setia mengatakan bahawa benda berharga di dalam genggam tangannya itu benar-benar Manikam, bila-bila dia pasti.

Hari ini, akulah Jauhari dan manikam itu adalah pada siapa persahabatan itu aku tujukan. Kalian manikam, meski pernah jatuh dan terserpih, meski tersalut lapisan lumpur, meski pudar warnanya dimamah hari, kalian tetap manikam di hati aku.

Terima kasih kerana kembali menjadi milik aku, seperti mana apa pun kalian.

Friday, March 18, 2011

Permata

Dalam mencari erti diri kita selalu terlepas pandang antara kaca dan permata.
Selalunya kita percaya bahawa kaca itulah permata sampai tertipu dengan masa.
Bila permata di curi orang, kita mendengus resah kata ia milik kita paling berharga.

Kita itu bukan aku,

sebab aku selalu menghargai permata yang aku jumpa.
Cuma biasanya permata itu bukan milik aku.
Lalu aku serahkan semula pada tuannya.

Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu!

Tarian

Bisakah kau dendangkan lagu ini pada aku?

Jika tidak bisa, tak mengapa. Izinkan ia terus berputar di jiwa aku.
Izinkan aku terus menari sepi atas pelantar tarian mahabbah yang aku cipta.

Monday, February 21, 2011

Kepingin

Sejujurnya aku tak pernah berani mohon pada Tuhan untuk syurga di dunia. Tapi hanya Tuhan yang tahu betapa aku kepingin amat. Mungkin bila aku sudah cukup pahala Tuhan beri aku syurga dunia yang aku idam. Aku tunggu, dengan sabar. Tuhan, adakah aku akan dapat pahala dengan bersabar? Kalau bersabar itu kau ganjarkan aku pahala maka aku akan bersabar lama-lama. Tuhan, dokong aku agar aku kuat bersabar sama macam kau dokong aku bila aku terlantar lelah. Tuhan, syurga dunia itu apa? Tuhan, sila jawab aku.

Friday, February 18, 2011

Drama

Drama itu kisah yang panjang,
ia bersambung-sambung hingga yang menonton jadi penat.
Kadangkala drama itu klise tapi kita tetap mahu menunggu
kerana drama itu kebiasaannya tentang hidup.
Kita mengharapkan keajaiban dalam drama
sama seperti kita mengharapkan keajaiban dalam hidup.
Meski kita diam, hanya sendiri-sendiri yang tahu.

Sebab itu kita sedia untuk terus menunggu.

Friday, January 28, 2011

Kehilangan

Kehilangan mengajar kita untuk sedar siapa kita.
Tanpa kehilangan kita jarang melihat kekurangan.

Monday, January 17, 2011

dayyaism: Bagus

dayyaism: Bagus

Kadang-kadang aku rasa agak kurang ajar siapa yang menjadikan konteks bagus ini sebagai prinsip hidup. Telunjuk selalu sahaja menuding lubang pada lutut seluar orang sedangkan diri sendiri berkain rabak sedarpun tidak.

Jelas

Bila sudah jelas yang dicaci tak bersalah
mengapa masih tegar tak beriak
malah diam-diam doa pada Tuhan
agar semua lepas lidah orang lupa
dan dipandang orang selaku mangsa.

Friday, January 14, 2011

Belatuk

Bagaikan burung kepatahan sayap,
aku berteduh mohon perlindungan
pada dahan pohon tegap.

Meski aku bukan belatuk yang mengukir indah kenangan
kumohon kauingat hadir aku di sini.

Wednesday, January 12, 2011

Tuesday, December 28, 2010

Abai

Kita selalu mengabaikan apa kata hati,
seolah-olah menurut hati itu sentiasa salah
dan menurut fikiran itu selalu betul.
Kita lupa jika hati punya emosi,
fikiran juga punya persepsi.

Monday, December 27, 2010

Melenting

Kalau dikata orang kita ini salah
nah, cepat pula kita melenting
sedang mulut kita sama bacul
mengumpat mengeji dan menghina.

Wednesday, December 15, 2010

Syukur

Bila kita tahu usaha kita tidak sia-sia
kita sebenarnya mengharapkan pujian pula.
Sebab kita adalah manusia yang tidak tahu apa itu syukur.

Saturday, December 04, 2010

Telaga usang

Manusia ibarat telaga usang.
Dirinya dihina-hina bila sudah kering kontang,
tidak ada harta, tiadak ada wang.
Jiwanya dikata-kata bila sedikit tidak serupa:
sama kita.

Saturday, November 13, 2010

Ratap

Tuhan berikan harapan
lepas ratap raung hambaNya.

Kau tahu kenapa hambaNya meratap dan meraung?
Kerana di dada mereka itu sudah penuh bahasa payah.
Mereka inilah perajurit-perajurit susah yang berjaya.

Masalah

Tidak ada gunanya memikirkan masalah,
yang perlu cuma penyelesaiannya.

Tuesday, October 19, 2010

Hati

Hati adalah organ dalaman manusia yang pelik.
Tertusuk luka, bukan pekat darah yang mengalir
tapi cair tangis yang menitis.

Rahsia

Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui
segala yang tersembunyi di hati.
Tuhan, ini rahsia kita.

Lurus

Hidup setiap daripada kita tidak pernah lurus
kerana itu Tuhan ciptakan kebenaran.

Jalan lurus itu cuma milik Dia
telah di jadikan laluan itu pintu syurga dan neraka.

Itulah selurus-lurus jalan;
Siratul Mustaqim.

Sesak

Yang sudah kaya mahu kaya lagi
yang papa kedana kian kurus melidi
yang hingusan selamanya dianak-anakkan
yang bongkok membangka tidak mahu turun takhta
yang meraja singgahsana terus selesa tanpa gangguan
yang melata di tepi jalanan lemas demi arus perdana
yang wanita semakin berani mumbuka pekung
yang lelaki kian menurut dikongkong
yang lemah tak ubah nyawa ikan
yang rancak terus-terusan gila!




Semua ini buat aku sesak.

Hidup

Aku berlari, mahu laju;
tapi terjatuh selepas dua langkah.
Terduduk, memandang kosong
mahu menangis tapi malu.
Diam-diam aku belajar sesuatu:

ini hidup.

Ruang

Sempit.
Aku mahu ruang untuk bernafas.

Suara

Sejuta kata orang tentang apa yang kita rasa,
satupun tidak akan sama.
Yang merasa keadaan itu cuma kita
kalaupun ada yang pernah sedikit punya sama kisah,
tak akan pernah sama isi cerita.
Bukankah ciptaan Tuhan itu indah belaka?
tidak punya satu perkarapun dijadikan seiya dan sekata.

: lalu tanpa sama merasa, bagaimana ada suara di akhir cerita?

Takdir

Sejuta kali dunia kiamat,
jika begitu juga yang ditakdirkan Tuhan
maka begitu juga kejadiannya.

Saturday, October 09, 2010

Sepuluh

Sepuluh itu lebih gah dari sifar;  itu kata kita.
Namun kita selalu lupa, sepuluh tidak akan wujud tanpa sifar.

Sejarah

Sejarah tidak pernah kita jadikan contoh dalam mendepani hidup.
Itulah sebenarnya penyebab keterbelakangan kita tanpa sedar.

Bagus

Kita seringkali melatah tentang betapa bagusnya kita berbanding orang lain.

Pemanis

Seorang wanita akan selalu menjadi pemanis seorang lelaki.

Matang

Menjadi keanak-anakkan adalah ilustrasi sebuah kematangan untuk aku.

Hipokrasi

Belum pernah sekalipun dalam hidup aku percaya pada hipokrasi.
Hipokrasi paling jelas adalah politik.

Pelarian

Kalau semalam aku seorang pelarian,
hari ini juga aku masih orang yang sama.
Aku berlari dari sesak hidup yang menduga,
mencari jalan tempat singgah lelah.

Friday, October 08, 2010

Cuba

Manusia lebih suka berkata-kata sebelum mencuba,
bukan mencuba sebelum berkata-kata.

Formaliti

Hidup yang penuh dengan formaliti bukan dinamakan hidup.
Formaliti itulah kehidupan.

Lari

Ini cubaan aku untuk lari dari alam realiti.
Ini adalah perjuangan aku.

"Untuk menjadi aku."